Thursday, August 26, 2010

Selamat Berpuasa. Selamat Beribadah dan Selamat Hari Raya AidilFiltri!

Kepada semua pengunjung yang merayakan hari kemenangan, ingin saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Sepanjang Ramadhan ni spiceroot.blogspot.com agak sepi dan Aquad Agro pun tak banyak aktiviti. Jadi dah lama tak update.

Sebagai ganti, bolehlah kita renung2kan ulasan dibawah yang saya terima melalui email dari rakan.

Tepat jam 7:24 malam nanti, bilal akan meniupkan wisel tanda bermulanya
separuh masa kedua perlawanan akhir, Piala Juara-Juara Ramadan di antara
Taqwa United dan Nafsu City. Pengkritik dan penganalisa bola sepak tanah
air (ustaz-ustaz) telah banyak memberikan pandangan serta komentar yang
pedas tentang persembahan longlai pasukan tempatan, Taqwa United dalam
tempoh separuh masa pertama perlawanan di konti-konti Masjid berdekatan.

Untuk makluman saudara sekalian, Taqwa United sedang ketinggalan 3-0 oleh
seteru tradisi, Nafsu City. Dua gol daripada penyerang berbisa Nafsu City
iaitu Emmanuel Amarah manakala satu lagi gol daripada Carlos Tamak
meletakkan pasukan mereka sebelah tangan menggenggam piala teragung buat
umat. Strategi 3-4-4 dengan 4 orang striker yang digunakan team Nafsu City
sukar dikekang barisan pemain muda United. Barisan pertahanan team tempatan
yang diketuai oleh Zikir Selawat dan pemain kelahiran Narathiwat, Wirid
Harian lemas dalam asakan rangkaian serangan emas yang dibarisi David
Serakah, Carlos Tamak, Mario Berahi dan Emmanuel Amarah (Pemenang Kasut
Emas Liga Juara Ramadan musim lalu dengan 30 gol setiap hari).

Penganalisa berpendapat jurulatih pasukan Taqwa United, Sir Iman DHati
perlu melakukan rombakan besar-besaran bukan sahaja dari sudut taktik
malahan pemain. Pemain-pemain veteran yang longlai seperti Pose Kosong dan
Tido Slalu perlu diganti dengan pemain muda berbakat seperti Ikhlas Sedekah
atau Tadarus Quran demi memantapkan jentera tengah pasukan Taqwa United.
Pemain-pemain veteran kelihatan tidak bermaya dan gagal mengekang
kelincahan Gareth Boros, Yaya TakIngatDosa dan James Maksiat yang
menggunakan kaum Hawa sebagai alat menganggu konsentrasi pemain Taqwa
United terutama di sudut padang sekitar pusat membeli-belah dan bazaar
Ramadhan.

Begitu juga dengan rangkaian serangan pasukan United yang diterajui
Tahjud-Din dan Munajat Malam, MM perlu dikerah untuk beraksi di segenap
kotak sejadah bagi mengucar-kacirkan kubu pertahan lawan yang dikawal ketat
Jolelon Lagho Kolo TidoLajak dan dibantu oleh Jerome BosanBeribadah, JBB.
Tambahan pula, penyerang berkembar itu perlu mengelakkan diri daripada
terus diselimuti tembok besar pasukan Nafsu City itu agar gol-gol
kemenangan dapat dijelmakan.

Namun penganalisa tempatan begitu optimis bahawa team Taqwa United mampu
mengurang defisit tiga gol lawan dalam separuh masa kedua nanti. Dengan
ketiadaan ketua jurulatih pasukan City yang digantung, Iblis dan pembantu
jurulatih, Satan, pasukan Taqwa United masih berpeluang merangkul kejuaraan
kurniaan Ilahi seterusnya meraikan kemenangan di Aidilfitri.

Sewaktu wawancara bersama Sir Iman DHati, anak buahnya bersemangat mengejar
bonus dan ganjaran berlipat kali ganda yang dikurniakan pada 10 minit
terakhir permainan. Mereka juga berharap tuah Lailatul Qadar menyebelahi
mereka untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu.
Selain itu, beliau juga berharap agar ibrah Nuzul Quran dapat dijadikan
tonik kemenangan dan pembakar semangat buat pasukan muda United mengejar
impian mereka bergelar Juara.

Oh ! Kelihatan, penyokong pasukan Nafsu City dan Taqwa United sudah mula
memenuhi semula tempat duduk masing-masing. Penyokong kedua-dua pasukan
bersorak bersungguh-sungguh demi membangkitkan semangat team kesayangan
mereka. Team sorak Nafsu City dengan pakaian yang menjolok mata dan
mengurangkan pahala manakala team sorak Taqwa United dengan pakaian seorang
Muslim sejati juga telah berkumpul di tepi padang untuk terus menghangatkan
bahang perlawanan.

Siapakah yang akan memenangi perlawanan berprestij ini?

Layakkah team Taqwa United menerima imbuhan pelepasan api neraka seperti
yang dijanjikan Ilahi selepas tamat perlawanan? Atau kemenangan akan
bertukar tangan kepada pasukan yang berbelanja besar, Nafsu City musim
ini ? Jika kemenangan bertukar tangan maka imbuhan kemenangan yang
diperolehi akan dijadikan modal oleh Iblis dan Satan untuk terus berbelanja
besar pada musim hadapan mengikat pemain-pemain terbaik dunia seterusnya
menutup peluang pasukan lain mengejar impian akhirat.

Sama-sama kita saksikan kesudahan perlawan akhir ini.

Sekian dari saya, Hizbullah Awang untuk anda yang masih termenung di luar
sana.